Bismillah..

Bismillah..

Wednesday, March 25, 2015

APAKAH BAHAGIAN-BAHAGIAN NASIKH DAN MANSUKH?


Nasikh ini berlaku ketika terdapat dua dalil dari sumber syarak yang bertentangan dan tidak terdapat di sana jalan penyelesaian dari mana-mana bentuk takwil. Dalil yang diturunkan dahulu dinamakan Mansukh dan dalil yang diturunkan berikutnya dinamakan Nasikh.

Bahagian-bahagian Nasikh dan Mansukh ini terbahagi kepada tiga bab iaitu Dalil Yang Menasakhkan, Bentuk Nasikh Sudut Tilawah Juga Hukum dan Bahagian Nasikh Sudut Cakupan.


1) Dalil Yang Menasakhkan

Berdasarkan kaedah umum syariat Islam, sesuatu dalil tidak boleh dinasakhkan kecuali dengan dalil yang sama kuat atau lebih kuat daripadanya. Terdapat dua jenis dalil yang menasakhkan, iaitu: Nasikh dengan dalil berbentuk nas dan Nasikh dengan dalil bukan berbentuk nas.

_____________________________________________________________


a) Nasikh Dengan Dalil Berbentuk Nas

Nasikh dengan dalil syarak yang berbentuk nas dapat dikemukakan sebagaimana berikut, iaitu:


i) Nasikh Al-Quran dengan Al-Quran

Ulama sepakat mengatakan nas Al-Quran harus menasakhkan nas Al-Quran yang lain iaitu apabila dalalah kedua-duanya adalah sama. Hal itu, kerana ia dikira sama sudut kekuatan.


ii) Nasikh Al-Quran dengan Hadith

Menasakhkan Al-Quran dengan hadith, ulama berselisih pendapat tentang keharusannya. Dimana pendapat ulama dapat dijelaskan sebagaimana berikut:
  • Jumhur ulama: Harus Al-Quran dinasakhkan dengan hadith Mutawatir, kerana ia diiktiraf sudut kekuatan. Hujah yang menyokong pendapat mereka berdasarkan hukum wasiat kepada ibubapa dan kerabat.
  • Ulama Hnafi: Harus Al-Quran dinasakhkan dengan hadith Mutawatir dan hadith Masyhur. Hal itu, kerana ia dikira hampir setaraf dengan Al-Quran sudut kekuatan.
  • Sebahagian ulama dan Imam al-Syafi'i: Tidak harus menasakhkan Al-Quran dengan hadith, biarpun hadith tersebut bertaraf Mutawatir atau Masyhur.

iii) Nasikh Hadith dengan Hadith

Berkaitan menasakhkan hadith dengan hadith terdapat perselisihan ulama. Perselisihan tersebut adalah seperti berikut:
  1. Jumhur Ulama: Mereka bersepakat mengatakan harus menasakhkan hadith dengan hadith tetapi dengan syarat ia mestilah setaraf sudut pensabitan dan dalalahnya. Berkaitan hal ini, ulama sepakat mengatakan hadith Mutawatir boleh dinasakhkan sengan hadith Mutawatir dan hadith Ahad. Sebaliknya pula, hadith Ahad hanya dapat menasakhkan hadith Mutawatir. Antara contoh hadith yang menasakhkan hadith ialah Rasulullah S.A.W pernah menegah para sahabat menziarahi kubur kerana sebab-sebab tertentu. Namun selepas itu, Baginda S.A.W tidak menegah perbuatan tersebut.
  2. Ulama Hanafi: Hadith Ahad harus dinasakhkan dengan hadith Mutawatir dan Masyhur. Hal itu, kerana kedua-duanya lebih kuat daripada hadith Ahad.

iv) Nasikh Hadith dengan Al-Quran

Jumhur ulama berpendapat Al-Quran harus menasakhkan hadith. Contohnya dalam perbualan Rasulullah S.A.W dan Sahabat menghadap ke arah Baitul Maqdis ketika solat. 

_____________________________________________________________


b) Nasikh dengan Dalil Bukan Berbentuk Nas

i) Nasikh Al-Quran dan Hadith dengan Ijmak

Jumhur ulama mengatakan ijmak tidak harus menasakhkan Al-Quran bdan hadith. Hal itu, kerana apabila sesuatu nas itu qat'i maka tidak mungkin berlaku ijmak yang menyalahinya. Seandainya pula apabila nas itu nas zanni, maka kemungkinan berlaku ijmak menyebelahinya. Namun begitu, ijmak hanya berlaku dengan berdasarkan dalil yang kuat menurut pandangan ulama yang telah bersepakat mengenai nas-nas tertentu.

ii) Nasikh Ijmak dengan Al-Quran atau Hadith

Apabila ijmak tidak harus menasakhkan Al-Quran atau hadith, begitu juga sebaliknya iaitu tidak harus Al-Quran atau hadith menasakhkan ijmak. Hal ini kerana, yang menasakhkan itu mestilah terkemudian daripada yang dinasakhkan sedangkan Al-Quran dan hadith mendahului ijmak. Hal itu, kerana ijmak diperlukan selepas kewafatan Rasulullah S.A.W dan nasakh hanya berlaku ketika Rasulullah S.A.W masih hidup dan tidak berlaku selepas kewafatannya.

iii) Nasikh Ijmak dengan Ijmak

Jumhur ulama berpendapat bahawa ijmak tidak harus menasakhkan ijmak yang lain. Hal ini kerana apabila ijmak terlaksana, maka wajib beramal dengannya dan tidak sah menyalahinya.

iv) Nasikh Al-Quran atau Hadith atau Ijmak dengan Qiyas

Mengikut pendapat jumhur, tidak harus dinasakhkan Al-Quran atau Hadith atau Ijmak dengan Qiyas. Begitu juga tidak harus dinasakhkan Qiyas dengan Al-Quran atau Hadith atau Ijmak. Hal tersebut, kerana syarat sah Qiyas ialah dengan tidak menyalahi nas Al-Quran, Hadith dan Ijmak. Sekiranya Qiyas menyalahi nas-nas tersebut, maka ia tidak sah dan tidak boleh beramal dengannya.

v) Nasikh Qiyas dengan Qiyas

Adalah tidak harus Qiyas menasakhkan Qiyas yang lain.

--------------------------------------------------------------------------------

2) Bentuk Nasikh Sudut Tilawah Juga Hukum

Nasikh dan Mansukh dalam Al-Quran ada tiga bentuk berdasarkan bacaan dan hukumnya, iaitu:

i) Nasikh Bacaan dan Hukum

Ulama bersepakat bahawa harus berlaku Nasikh dan Mansukh sudut bacaan tanpa hukum atau sebaliknya dan kedua-duanya sekali.

ii) Nasikh Hukum tanpa Bacaan

Ulama menyatakan harus menasakhkan hukum dalam ayat, tetapi tidak pada bacaannya. Hikmat hukum ini diangkat dan bacaan ayat tersebut kekal ialah untuk mengetahui hukum dan beramal dengannya.

iii) Nasikh Bacaan tanpa Hukum

Jumhur ulama sepakat mengatakan Nasikh dan Mansukh bentuk ini harus berlaku. Sebagai contoh pada surah al-Azhab ayat tersebut dahulunya telah dimansukh sudut bacaannya sahaja, namun hukumnya masih dipakai iaitu penzina lelaki dan perempuan yang telah berkahwin, hukumnya direjam kedua-duanya.

-----------------------------------------------------------------------------

3) Bahagian Nasikh Sudut Cakupan

i) Nasikh Soreh

Nasikh secara terang atau soreh, iaitu syarak menjelaskan dan menyatakan secara terang berkaitan ayat yang diturunkan, kemudian syariat membatalkan atau menasakhkan syariat terdahulu. Hal itu dapat dibuktikan melalui kenyataan yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W dimana Rasulullah S.A.W melarang umatnya daripada menziarahi kubur. Kemudian hukum tersebut telah dinasakhkan dalam hadith yang sama dengan memberi keizinan kepada umatnya untuk menziarahi kubur.

ii) Nasikh Dimni

Nasikh secara kandungan atau dimni adalah nasikh yang mana syarak mensyariatkan satu hukum yang bertentangan dengan hukum terdahulu sehingga tidak mungkin disatukan kedua-dua hukum tersebut melainkan ia perlu dibatalkan salah satu daripadanya. Justeru, hukum terkemudian dianggap menasakhkan hukum terdahulu walaupun ia tidak dinyatakan secara jelas atau terang. Sebagai contoh, dalam surah al-Baqarah 2:240, ayat tersebut menjelaskan iddah isteri yang kematian suaminya adalah setahun tanpa keluar daripada rumah. Sesungguhnya ini adalah hukum yang pertama diturunkan oleh Allah untuk wanita yang beriddah kerana kematian suami. Namun begitu, Allah telah menurunkan ayat lain untuk menggantikan ayat di atas. Dimana Allah meringankan beban wanita yang kematian suami yang iddahnya setahun kepada empat bulan sepuluh hari.

        Nasikh secara kandungan atau Dimni itu pula terbahagi kepada dua bahagian yang lain iaitu Nasikh Kulli atau secara keseluruhan dan Nasikh Juz'i atau secara berasingan.

No comments:

Post a Comment